arena

Super KIP tak patah semangat

Oleh Aida Adilah Mat

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi sudah memikirkan segala kemungkinan dan keputusan memotong jari kelingking kanannya itu bukanlah keputusan yang mudah dilakukan tapi demi masa depan kariernya sebagai pelumba.

Dia yang kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan Selasa lalu di sebuah hospital di Barcelona berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.

Biarpun ia keputusan sukar, pelumba berusia 21 tahun itu yang dikenali dengan julukan Super KIP tidak mempunyai pilihan dan berharap tidak akan ada lagi masalah untuk dia fokus kepada latihan dan perlumbaan.

''Jari saya ini memang dari tahun lalu tak boleh dibengkokkan kerana ada skru. Lepas saya jatuh di Brno ia kembali retak.

''Saya akan jumpa doktor Isnin depan dan berharap jari ini cepat sembuh untuk saya fokus latihan dan perlumbaan di Misano nanti,'' katanya.

Khairul Idham mengalami kecederaan berulang di bahagian jari sama pada sesi kelayakan GP Republik Czech, awal bulan ini dengan yang pertama ketika sesi latihan bebas GP Sepanyol 2019.

Andai proses pemulihan berjalan lancar, dia dijangka akan kembali berlumba di GP San Marino yang dijadual menjadi pusingan ketujuh musim 2020 dan ia sekali lagi menjadi lokasi untuk GP Emilia Romagna, seminggu selepas itu.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 3:04pm
d