arena

Luqman ledak gol pertama [VIDEO]

Oleh Syazwan Msar

BUKAN biasa-biasa apabila aksi pertama pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin bersama KV Kortrijk sudah meledak gol pertama sekali gus memberi amaran awal kehadirannya adalah berbaloi.

Walaupun mewakili skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk, aksi pertama terbabit membuktikan pemain yang berasal dari Kota Bharu Kelantan itu tidak goyah beraksi di pentas Eropah dengan suasana berbeza berbanding di Malaysia.

Berita gembira itu dikongsi menerusi Facebook rasmi KV Kortrijk namun perlawanan menentang KRC Gent menyaksikan skuad KV Kortrijk tewas 1-4 dengan jaringan tunggal menerusi Luqman.

Jaringan terbabit terhasil apabila Luqman yang terkenal dengan kepantasannya berjaya mencuri bola daripada pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol KRC Gent.

Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun mengikat kontrak lima tahun dengan KV Kortrijk sekali gus muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah.

Luqman dikehendaki menjalani tempoh kuarantin dengan dua kali ujian Covid-19 dilakukan terhadapnya sebelum dia dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan.

Perlawanan menentang KRC Gent adalah aksi pertama penyerang Bawah 19 tahun negara itu sejak berlepas ke Belgium dua minggu lalu.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 4:50pm
d