arena

Pertembungan epik Pahang, JDT

Oleh Syazwan Msar

SAINGAN Liga Super akhirnya kembali bersambung dengan penyokong bola sepak tanah air sudah tentu menantikan pertembungan dua pasukan gergasi Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus menjadi perlawanan paling menarik selepas berehat lebih empat bulan.

Walaupun berdepan prestasi tidak menentu pada empat perlawanan awal serta keputusan yang kurang memberangsangkan pada aksi persahabatan, kelibat Pahang masih dinantikan peminatnya apabila tiap kali berdepan JDT dengan kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium Darul Makmur.

Manakala juara bertahan, JDT yang juga pendahulu Liga Super, pasti mengharapkan momentum yang dibina sejak beberapa perlawanan lalu dapat dikekalkan bagi memburu kemenangan keempat selain mengekalkan rekod tanpa kalah.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, bagaimanapun berdepan keresahan untuk berdepan JDT kerana mengakui skuad kendaliannya belum berada di tahap memuaskan ekoran kecederaan ramai pemain utama serta tahap kecergasan yang rendah.

"Skuad yang saya ada sekarang belum bersedia sepenuhnya kerana jika dilihat pada beberapa perlawanan persahabatan, saya cukup resah perhatikan tahap kecergasan barisan pemain utama.

"Ditambah hampir semua pemain import saya baharu pulih daripada kecederaan seperti Herold Goulon, Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos, saya akui berdepan cabaran yang cukup hebat untuk hadapi perlawanan pertama, tambah-tambah bertemu JDT.

"Apa juga keputusan dengan JDT selepas ini, saya akan cuba pastikan Pahang akan berada di tahap terbaik bagi harungi baki perlawanan yang tinggal di Liga Super dan walaupun bermain tanpa penyokong, kami akan cuba tampil dengan penuh bersemangat," katanya.

Pertembungan lain yang dijangka menarik ialah aksi dua pasukan jiran setempat, Selangor yang akan menerima kunjungan PJ City di Stadium UiTM Shah Alam, pada Sabtu dengan skuad kendalian K Devan sudah pasti mahu bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC dalam perlawanan tertunda 22 Ogos lalu.

Selain itu, pencabar utama JDT, Perak yang masih kekal dengan rekod bersih dalam empat perlawanan bakal berdepan ujian getir menentang Melaka di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan di tangga ketiga, Terengganu FC sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk teruskan kedudukan namun tidak boleh memandang rendah keupayaan Sabah apabila kedua-dua pasukan bakal berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dua lagi perlawanan lain yang tidak kurang menariknya ialah Felda United bertemu UiTM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dan PDRM yang masih dalam misi melakar kemenangan sulung liga akan berdepan Kedah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 7:13pm
d