arena

Hafizh sedia buktikan jika dipilih Razlan

Oleh Saiful Affendy Sapran

"KALAU ada rezeki ada la, kalau tak ada, saya akan terus berusaha."

Demikian pengakuan pelumba Moto2 negara dari pasukan Inde Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah ketika diminta mengulas mengenai masa depannya di Kejohanan Motosikal Dunia.

Ia selepas kenyataan prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali menerusi satu laporan yang dalam dilema sama ada mahu memilihnya atau juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi untuk satu lagi tempat duduk di kelas MotoGP pasukan itu musim depan.

"Buat masa sekarang saya hanya mahu fokus dengan apa yang saya ada. Saya sendiri pun tak tahu mengenai perkara itu.

"Keputusan yang Datuk Razlan ingin buat terserah kepadanya kerana itu adalah pasukannya, bukan pasukan saya.

"Sama-sama kita tunggu dan lihat. Kalau ada rezeki ada la. Andai dapat peluang itu, insya-Allah saya akan cuba sebaik mungkin untuk raih pencapaian lebih baik daripada sebelum ini.

"Apapun saya tak letakkan harapan tinggi. Saya perlu fokus kepada saingan di Moto2 pada musim ini dulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Meskipun Rossi sebelum ini yakin akan berhijrah ke Petronas Yamaha SRT musim depan daripada pasukan pengeluar Yamaha selepas tempatnya akan digantikan oleh Fabio Quartararo, namun masih belum ada kata putus daripada Razlan berhubung perkara itu.

Razlan menerusi laporan terbaharu mengakui bahawa beliau seorang yang patriotik dan sentiasa berusaha untuk menempatkan pelumba negara di kejohanan berprestij itu.

Hafizh terselamat daripada kemalangan ngeri di Grand Prix Austria dua minggu lalu dan ketika ini sedang melalui proses pemulihan menjelang saingan MotoGP seterusnya di Misano 13 September depan.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 2:22pm
d