arena

Arul tak perlu tambahan jurulatih

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj akan mengekalkan staf kejurulatihan sedia ada sehinggalah mempunyai keperluan untuk menambah atau mengurangkan pasukan.

Arul mengakui mana-mana ketua jurulatih pastinya mempunyai set staf kejurulatihan masing-masing, namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu ketika ini.

"Biarlah saya jalankan tugas dengan barisan staf yang ada. Andai dalam tempoh sebulan dua ini saya memerlukan tambahan staf, maka saya akan maklumkan kepada pihak berkenaan termasuk MHC.

"Setakat ini saya boleh bekerjasama dengan semua staf termasuklah (Muhamad) Amin Rahim (penolong jurulatih). Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya dan dia pun faham cara kerja saya. Jadi untuk penolong jurulatih, saya boleh katakan tiada sebarang perubahan.

"Yang penting bagi saya adalah semua individu termasuk pemain berada dalam suasana seronok dan serius ketika menjalani latihan atau menyertai kejohanan," katanya.

Arul yang mempunyai pengalaman luas di luar negara termasuk pernah membimbing pasukan Afrika Selatan dan Ireland, turun kali pertama menjalani latihan bersama skuad negara semalam.

"Untuk peringkat awal ini saya tak mahu membuat perubahan terlalu drastik. Saya masih mengekalkan jadual latihan seperti sebelum ini.''

Arul dilantik mengemudi skuad negara dengan kontrak selama dua tahun selepas pengendali dari Belanda, Roelant Oltmans mengambil keputusan untuk berundur lebih awal.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 3:04pm
d