arena

Ujian getir skuad Sathia

Oleh Syazwan Msar

BIARPUN beraksi bukan di venue keramat iaitu Stadium Shah Alam, namun skuad Selangor boleh dikatakan tampil lebih meyakinkan dan bersedia melayan kunjungan PJ City di Stadium UiTM Shah Alam, esok. Pengendali The Red Giants, B Sathianathan berkata, beliau berjaya membentuk gandingan pemain yang lebih mantap dan ia sudah terbukti apabila berjaya memperoleh keputusan positif pada perlawanan persahabatan sebelum ini.

Beliau berkata, tempoh lima bulan tanpa sebarang aksi kompetitif dan latihan intensif bukanlah masalah besar kepada skuad senior kerana kebanyakan pemain mengetahui tanggungjawab masing-masing dengan memastikan terus kekal cergas bagi menghadapi baki perlawanan liga.

"Saya berpuas hati dengan komitmen pemain sepanjang tempoh lima bulan ini. Mungkin sebab sudah lama tak bermain, saya nampak pemain betul betul bersungguh dan seperti 'lepas geram' pada sesi latihan.

"Banyak peningkatan yang ditunjukkan oleh barisan pemain saya. Jadi saya mahu mereka terus bersemangat untuk baki aksi musim ini bagi membantu kita meraih keputusan yang baik," katanya.

Selangor sebelum ini komited dalam menyiapkan pasukan untuk mengharungi baki perlawanan liga apabila mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang, Selangor II, UKM FC, Terengganu FC (TFC) Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan semua pertemuan berjaya meraih kemenangan.

Mengulas lanjut aksi bertemu skuad PJ City, Sathia menjangkakan anak buahnya sama sekali tidak akan berdepan laluan mudah dalam misi mengutip mata penuh di laman sendiri.

"PJ City FC sudah tentu mahu bangkit dengan mencipta kemenangan selepas tewas kepada Terengganu pada perlawanan minggu lalu.

"Jangan terkejut kalau PJ City tampil dengan aksi lebih bertenaga dan menutup segala ruang yang ada kepada pemain saya. Mereka adalah satu pasukan yang bagus," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 8:29pm
d