arena

Roma tunda latihan angkara Covid-19

Oleh AFP

KELAB Serie A Roma menangguhkan sesi latihan musim baharu selepas empat pemain mereka didapati positif koronavirus semalam.

Selepas penjaga gol, Antonio Mirante positif minggu lalu, penyerang Sepanyol, Carles Perez mengesahkan dia turut dijangkiti Covid-19 kelmarin. Semalam, bek kanan, Bruno Peres dalam Instagram berkata, dia turut positif tetapi tanpa gejala.

"Saya hormati proses kuarantin tetapi saya tak sabar kembali bersama pasukan,'' kata Peres merujuk kepada liga Itali yang kembali bersambung 19 September.

Penyerang Belanda, Justin Kluivert pemain keempat diuji positif, menurut Sky Sport Italia dan Gazzetta Dello Sport.

Kluivert yang berusia 21 tahun baharu sahaja pulang daripada bercuti di Belanda dan Ibiza di Sepanyol.

Kelab lain di Itali turut melaporkan beberapa kes positif dalam kalangan pemain dan staf yang pulang daripada bercuti.

Jurulatih Bologna, Sinisa Mihajlovic yang menjalani rawatan leukemia sejak tahun lalu diuji positif Covid-19 dan kini menjalani kuarantin.

Kelab Sardinia, Cagliari turut mempunyai empat pemain dijangkiti - Filip Bradaric, Luca Ceppitelli, Alberto Cerri dan Kiril Despodov manakala

Sassuolo mengumumkan penyerangnya, Jeremie Boga juga positif.

Penyerang Napoli, Andrea Petagna turut dijangkiti manakala Torino mengumumkan dua kes tanpa mendedahkan nama mereka, begitu juga kelab yang baharu dinaikkan, Benevento.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 6:46am
    d