arena

Liverpool terancam jika City miliki Messi

Oleh Agensi

JURGEN Klopp memberi amaran peluang Liverpool untuk mengekalkan gelaran berdepan ancaman serius jika Manchester City berjaya mendapatkan Lionel Messi.

City hampir mencapai persetujuan terma bayaran £1.4 juta seminggu (RM7.79 juta) dengan superstar Barcelona itu termasuk gaji, yuran, bonus, hak imej dan masih berpeluang membawanya keluar dari Camp Nou.

Tetapi pengendali Reds, Klopp berkata: ''Messi sudah pasti membantu Manchester City dan lebih menyukarkan kami untuk menewaskan mereka yang sebelum ini memang sukar diatasi.''

Klopp yang pasukannya akan berdepan juara Piala FA, Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti malam ini tidak yakin City akan menarik diri daripada perjanjian mega itu.

Katanya: ''Bagi Liga Perdana, sangat hebat jika memiliki pemain terbaik dunia dalam liga.

''Saya tak pasti jika Liga Perdana memerlukan lonjakan tetapi ia dapat membantu, saya pasti. Ia turut menjadi menarik kerana Messi tak pernah beraksi di liga selain Sepanyol.

"Bola sepak di sini berbeza. Saya minat menyaksikannya tetapi saya tak pasti.''

Klopp turut mengakui Liverpool tiada peluang menandatangani bintang Argentina berusia 33 tahun itu.

Katanya: ''Berminat? Siapa yang tidak mahu Messi dalam pasukan mereka. Tetapi kami tiada peluang.''

Menurut laporan, rundingan antara peguam City dan wakil Messi menunjukkan kemajuan berkaitan perjanjian yang bakal memuaskan pemain itu.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 9:01am
d