arena

Djokovic bergelut ke final

Oleh AFP

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic terpaksa bekerja keras sebelum mara ke final Terbuka Western & Southern ATP dan WTA manakala bintang Jepun, Naomi Osaka turut bergelut dalam aksi separuh akhir.

Djokovic dua kali mendapatkan rawatan di leher namun bangkit menewaskan pilihan kelapan dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut 4-6, 6-4, 7-6 (7/0) di New York.

Pemain Serbia berusia 33 tahun itu meningkatkan rekodnya kepada 22-0 tahun ini walaupun dia terlepas tiga break pada set ketiga dalam aksi tiga jam itu.

Dia akan berdepan Milos Raonic di final esok selepas pemain Kanada itu yang mempunyai rekod 0-10 menentang Djokovic menewaskan pilihan keempat dari Greece, Stefanos Tsitsipas 7-6 (7/5), 6-3.

Naomi pilihan keempat yang pada mulanya menarik diri daripada aksi separuh akhir menyelamatkan 18 daripada 21 mata break sebelum menewaskan pemain Belgium, Elise Mertens 6-2, 7-6 (7/5) untuk mara ke final.

Dia akan menentang juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka yang menewaskan pilihan kelapan dari Britain, Johanna Konta 4-6, 6-4, 6-1.

Juara dua kali Grand Slam, Naomi pada mulanya menarik diri daripada separuh akhir Rabu lalu sebagai tanda bantahan terhadap insiden tembakan Jacob Blake oleh polis di Kenosha, Wisconsin.

Tetapi apabila ATP dan WTA menunda aksi separuh akhir ke semalam, dia menukar fikiran dan kembali beraksi.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 11:32am
d