arena

Hamidin belum putus pertahan jawatan presiden

Oleh Syazwan Msar

BIARPUN menerima sokongan lebih daripada separuh ahli gabungan supaya kekalkan jawatan hingga 2025, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil pendirian tunggu dan lihat untuk menyatakan persetujuan menggalas tanggungjawab berkenaan.

Hamidin berkata, menjawat tugas sebagai Presiden FAM adalah cukup berat dan perlu bekerja keras terutama untuk tempoh empat tahun akan datang.

Beliau berkata, perkara terbabit akan dipertimbangkan terlebih dahulu dengan memberikan jawapan bersetuju atau sebaliknya pada mesyuarat kongres tahun depan yang dijangka berlangsung pada April nanti.

"Terima kasih kepada ahli gabungan yang mahukan saya terus menerajui FAM untuk penggal 2021-2025 namun mahu semak dahulu sebelum memberikan jawapan.

"Saya bukan tak mahu terima malah menghargai sokongan yang diberikan ahli gabungan namun jika terima untuk tempoh empat tahun lagi kerja perlu berlipat kali ganda.

"Melihat kepada situasi, bukan mudah untuk mengambil jawatan nombor satu FAM berikutan ia adalah sukan paling utama di negara ini namun sampai masa saya akan buat keputusan," katanya dalam sidang media pada Mesyuarat Kongres FAM, ke 56, hari ini.

Pada akhir mesyuarat terbabit, lebih separuh ahli gabungan antaranya Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT), Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tampil menyatakan sokongan untuk Hamidin kekal menerajui FAM pada penggal akan datang.

Hamidin yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM dilantik menyandang presiden ketujuh badan induk bola sepak negara itu untuk penggal 2017-2021.

Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui kerusi panas itu diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 7:11pm
d