arena

Adam raih lapan mata

Oleh Saiful Affendy Sapran

ADAM Norrodin mempamer tunggangan konsisten apabila berjaya menamatkan pusingan ketiga Kejuaraan Moto2 Eropah CEV di tempat kelapan sekali gus meraih lapan mata berharga.

Pelumba Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu yang bermula di petak ketujuh di Litar Jerez, gagal bermula dengan baik apabila sedikit ketinggalan di awal saingan.

Namun dia akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan, ketinggalan 18.020 saat (s) di belakang Yari Montella dari Itali yang memenangi perlumbaan itu dengan catatan 29 minit 32.092s.

Ia masih pencapaian membanggakan untuk Adam selepas berdepan detik cemas apabila terbabit dengan kemalangan teruk pada sesi latihan bebas kedua kelmarin sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Namun dia disahkan cergas sekali gus dibenarkan untuk beraksi pada sesi kelayakan semalam.

Dengan pencapaian terbaharu itu, Adam yang pernah beraksi pada saingan Moto3 di Kejohanan Motosikal Dunia, kini mengumpul 34 mata untuk menduduki tangga kesembilan.

Adam akan beraksi pada pusingan keempat di litar sama esok.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 7:35pm
d