arena

Sumareh tak 'gentleman'

Oleh Syazwan Msar

JIKA di Eropah, pemain yang gagal hadir sesi latihan akan dikenakan denda sehingga RM2 juta sekali gus membuktikan tindakan terbabit dianggap serius dan tidak sepatutnya dilakukan pemain bola sepak bertaraf profesional.

Hukuman terbabit mungkin akan diterima tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh apabila dia gagal tampil pada sesi latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sebulan lalu.

Walaupun ketika ini Sumareh masih lagi selamat daripada sebarang tindakan namun Pengurus Skuad Tok Gajah, Datuk Suffian Awang berkata, pemain terbabit tidak akan terlepas begitu saja apabila perkara terbabit akan dibincangkan bersama pengurusan tertinggi dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil apabila Sumareh secara tiba-tiba 'hilang' tanpa memberitahu sebab atau alasan berbuat demikian hingga menimbulkan persoalan pihak pengurusan dan penyokong pasukan itu.

"Sumareh tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan cuma apa bentuk hukuman itu biarlah pihak pengurusan tentukan selepas mengadakan perbincangan nanti.

"Cuma apa yang kami kesalkan apabila Pahang adalah pasukan yang menaikkan nama dia dan membantu daripada segi kerakyatan namun tidak memberitahu secara 'gentleman' jika mahu keluar dari skuad Tok Gajah.

"Tidak kisahlah jika sudah tawar hati atau ada tawaran daripada pasukan lain tapi tampil berhubung dengan jurulatih dan pengurus.

Jika tidak pun terus bertemu dengan pengurusan," kata Suffian selepas di minta mengulas mengenai tindakan pemain naturalisasi pertama negara itu yang 'lesap' dari latihan pasukan sejak sebulan lalu.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 8:15pm
d