arena

Petak utama untuk pelakon Black Panther

Oleh AFP

LEWIS Hamilton memberikan penghormatan yang sangat penuh emosi kepada Chadwick Boseman selepas meraih petak utama Grand Prix (GP) Belgium dengan penyandang juara dunia itu berkata, 'petak utama ini adalah untuknya'.

Boseman, yang meninggal dunia akibat kanser semalam, menggalas watak utama, T'Challa, iaitu pemimpin Wakanda, dalam filem 'Black Panther'.

Ia adalah kali pertama buat filem Marvel mempunyai karektor berkulit hitam sebagai adiwira.

"Ia sangat memberi kesan kepada saya hari ini (semalam). Saya memandu untuk memberikan persembahan terbaik hari ini, bagi membolehkan saya hadiahkan untuk Chad.

"Saya masih ingat ketika kanak-kanak 'Superman' adalah adiwira pujaan, dia memang tidak kelihatan seperti saya tapi masih beranggapan 'Superman' adalah yang paling hebat.

"Apabila Chad menjadi 'Raja', iaitu adiwara di Wakanda ia adalah hari yang sangat istimewa buat ramai orang terutamanya seperti saya yang mampu menjadikannya sebagai idola dan ia sangat mustahil untuk melakukan seperti apa yang dilakukannya, jadi saya hadiahkan kejayaan ini kepadanya," kata Hamilton.

Hamilton menerangkan dia pernah berjumpa Boseman ketika minggu fesyen New York, di mana mereka berada di majlis makan malam yang sama.

"Saya bersua dengannya beberapa kali sepanjang malam itu dan kami seperti berseronok bersama, di meja yang sama. Ia satu detik yang luar biasa. Saya masih ingat lagi ketika bersembang dengannya.

"Saya masih ingat apabila 'Black Panther' ditayangkan, saya adalah peminat Marvel dan selepas sekian lama menanti, kehadiran adiwira kulit hitam ternyata membuatkan semua orang bangga," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 9:27am
d