arena

Tiada aksi persahabatan punca longlai

Oleh Malik Muhamad

TIADA persahabatan selain rehat terlalu lama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) adalah faktor utama skuad Sabah gagal menyaingi Terengganu FC (TFC) selepas kecundang 0-4 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Malah kekalahan terbesar musim ini menyaksikan skuad Tambadau itu perlu melakukan lebih banyak 'kerja rumah' sebelum bertemu Selangor pada aksi keenam Jumaat ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto menjelaskan kesilapan yang dilakukan anak buahnya yang terlalu memberi ruang kepada lawan turut mengundang kekalahan itu.

Namun jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak mahu menyalahkan pemainnya 100 peratus, sebaliknya meminta anak buahnya menjadikan kekalahan itu sebagai pengajaran berguna sebelum bertemu skuad Red Giants.

"Saya tidak boleh menyalahkan 100 peratus pemain kerana mereka juga sudah bekerja keras, lagipun pasukan tuan rumah bermain luar biasa dengan begitu disiplin di bahagian pertahanan dan efektif ketika menyerang.

"Namun begitu sebenarnya kami sudah merancang untuk menyekat penguasaan pasukan tuan rumah, tapi hanya pada 10 minit pertama perancangan kita berjaya, selebihnya selepas jaringan pertama lawan pemain sedikit goyah.

"Tapi memang kita akui sebelum liga bersambung semula, kita tidak mengadakan perlawanan persahabatan, malah ini adalah perlawanan pertama pemain selepas lebih lima bulan berehat.

"Malah tiga daripada empat gol adalah kesilapan pemain sendiri sekali gus semangat pemain semakin menurun, tidak sabar, bermain corak hantaran jauh dan kerap kali hilang bola.

"Jadi kekalahan ini sudah tentu memberi pengajaran berguna kepada kami sebelum bertemu Selangor selepas ini dan sudah tentu saya lihat barisan pertahanan perlu diperbaiki lagi termasuk komunikasi antara pemain dan paling penting tidak melakukan kesilapan sendiri," katanya yang juga tidak mahu menyalahkan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh sebaliknya yakin pemain itu akan bangkit pamer prestasi terbaik.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 12:45pm
d