arena

Nafuzi buat kajian sebelum menang

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memuji komitmen pemainnya ketika membenam cabaran Sabah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Jelas Nafuzi, semangat tinggi yang diperagakan pemain harus dipuji untuk mencapai misi berada di kelompok teratas Liga Super.

"Tahniah kepada semua pemain kerana bermain 'all out' pada malam ini (malam tadi) apatah lagi kami sangat perlu kemenangan kerana kita tahu selepas liga bersambung, jumlah perlawanan sedikit.

"Jadi setiap perlawanan adalah penting untuk kita dapatkan mata dan ini yang dibuktikan pemain," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelima malam tadi.

Ketika ditanya kunci kemenangan dalam dua aksi terakhir menentang PJ City dan terbaharu Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19, Nafuzi menjejaskan beliau banyak mengkaji kelemahan dan kekuatan pasukan.

"Sebelum ini kita banyak mengkaji beberapa aspek ketika liga ditangguhkan lebih lima bulan termasuk kelemahan dan kita tahu jaringan kita sebelum ini banyak tapi bolos juga besar, jadi ini juga masalah.

"Tapi kita perbaiki dan pelajari dari semasa ke semasa ketika sesi latihan dan aksi persahabatan dan apa yang pemain pamerkan saya puas hati, namun banyak lagi yang perlu diperbaiki," katanya.

Pada perlawanan itu jaringan TFC dihasilkanpemain import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov (dua gol) dan masing-masing satu gol oleh penyerang kelahiran Mauritania, Dominique Da Sylva dan pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Faris Ramli.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 1:08pm
d