arena

Perubahan kepimpinan ganggu pasukan bola

Oleh Syazwan Msar

BAGAIKAN barah yang sukar untuk diubati apabila perubahan kepimpinan termasuk peletakan jawatan setiausaha dan pertukaran individu tertentu dalam persatuan bola sepak negeri boleh menyebabkan pasukan terbabit 'rosak' atau timbul masalah lain hingga gagal ditadbir urus dengan baik.

Malah, penyakit terbabit sebenarnya hanya menghantui industri bola sepak di negara ini sekali gus memerlukan perubahan secara menyeluruh menerusi kaedah penswastaan pasukan.

Perkara terbabit didedahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin apabila proses penswastaan pasukan menyaksikan gerak kerja memuaskan namun ada antaranya agak perlahan.

Beliau berkata, proses penswastaan menerusi pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mentadbir pasukan mampu merawat barah terbabit yang sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.

"Ada sebahagian baik namun ada juga yang perlahan alasannya adalah peletakan jawatan setiausaha, perubahan pucuk pimpinan dan pertukaran individu sekali gus menunjukkan masalah ini hanya berlaku di Malaysia saja.

"Saya pernah bertanya kepada Presiden Persatuan Bolasepak Vietnam dan Thailand namun mereka menjelaskan tidak menghadapi masalah terbabit kerana apabila tukar kepimpinan, kelab tetap berjalan seperti biasa.

"Oleh itu, perubahan daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak mungkin boleh menyelesaikan masalah itu," katanya.

Sebelum ini, FAM menetapkan hujung bulan depan adalah tempoh terakhir buat semua pasukan Liga M menswastakan pasukan dan kegagalan bertindak demikian akan menyebabkan pasukan terbabit tidak dibenarkan beraksi di saingan kelab-kelab anjuran AFC.

Sebagai rekod, penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Malah, menerusi laporan Arena Metro turut mendedahkan pasukan Liga M sebenarnya mendapat 'ihsan' Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bertanding di peringkat Asia dan kini talian hayat terbabit sudah tertutup rapi bermula tahun depan jika masih lagi gagal melakukan penswastaan pasukan.

Sementara itu, Hamidin berkata, proses penswastaan boleh dikatakan gagal apabila dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, masalah yang membelenggu pasukan Liga Malaysia (Liga M) masih lagi berlaku.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 11:42pm
d