arena

Buktikan sentuhan Amerika

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Millers diharap dapat mencurahkan 'resipi Amerika Syarikat (AS)' jika benar akan melatih dua jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi.

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad berkata, selaku individu yang berasal dari negara melahirkan ramai pakar pecut, Millers pastinya mempunyai perancangan terbaik untuk Khairul Hafiz dan Haiqal.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini dilaporkan mahu menyerapkan kedua-dua pelari pecut itu di bawah kendalian Millers di Bukit Jalil daripada jurulatih sedia ada, Mohd Poad Md Kassim.

"Sudah tentu saya ingin lihat cara latihan Millers kerana dia berasal dari AS yang pastinya mempunyai pendekatan jauh berbeza berbanding jurulatih sedia ada.

"Yang penting kedua-dua atlet itu berguru bersama Millers dengan sepenuh hati. Jika itu berlaku, saya yakin mereka akan memperoleh keputusan yang baik.

"Untuk Cikgu Poad, dia boleh memberi fokus melatih atlet lain pula. Sebab dia sememangnya jurulatih sekolah sukan," katanya.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sebelum ini berkata, langkah itu adalah satu pembaharuan yang dilakukan untuk kepentingan atlet.

Khairul Hafiz antara atlet di bawah naungan Poad yang dilihat paling berjaya apabila berjaya memecahkan rekod acara 100m berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan 10.18 saat ketika beraksi di Sukan Malaysia Sarawak 2016.

Untuk rekod, Miller pula pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 6:00am
d