arena

Paire positif Covid-19, tinggalkan Terbuka AS

Oleh AFP

PEMAIN Perancis, Benoit Paire dikeluarkan dari undian lelaki Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas penganjur kejohanan Grand Slam itu mengumumkan seorang pemain yang tidak didedahkan di menarik diri akibat positif Covid-19.

Nama Paire dikeluarkan dari laman web rasmi Terbuka AS dan digantikan dengan pemain Sepanyol ranking ke-149 dunia, Marcel Granollers, yang akan berdepan Kamil Majchrzak dari Poland bagi saingan pusingan pertama minggu ini.

Akhbar sukan harian Perancis, L'Equipe melaporkan sebelum itu bahawa pemain nombor 22 dunia itu diuji positif Covid-19 di New York,

Persatuan Tenis Amerika Syarikat berkata, pemain yang tidak menunjukkan sebarang simptom itu dinasihatkan untuk mematuhi protokol keselamatan dan kesihatan negara serta kejohanan iaitu mengasingkan diri sekurang-kurangnya 10 hari.

Proses menjejak kontak rapat sudah dimulakan untuk mengesahkan sama ada orang lain perlu melakukan kuarantin 14 hari kerana berada berdekatan dengan pemain terbabit.

L'Equipe berkata, pemain Perancis lain, Richard Gasquet, Gregoire Barrere, Edouard Roger-Vasselin dan Adrian Mannarino dikurung di bilik hotel masing-masing di kejohanan itu sehingga diberitahu kelak.

Berita mengenai pemain diuji positif terbit selepas pemain sudah berlatih dan beraksi di kejohanan mencari rentak, Terbuka Western & Southern, yang selalunya diadakan di Cincinnati, tapi kali ini dianjurkan di lokasi sama Terbuka AS.

Paire, 31, diletakkan sebagai pilihan ke-17 dan mara kali pertama ke pusingan keempat Grand Slam pada 2015 di Terbuka AS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 9:10am
    d