arena

Thauvin masih berbisa

Oleh AFP

FLORIAN Thauvin membuktikan kehebatannya dalam kemunculan pertama selepas 15 bulan dengan menjaringkan satu gol dan hantaran menghasilkan jaringan ketika Marseille menewaskan Brest 3-2 pada perlawanan pembukaan Ligue 1 mereka musim ini.

Pemain yang membantu Perancis muncul juara Piala Dunia itu hanya bermain 20 minit pada saingan liga musim lalu yang dipendekkan kerana Covid-19 selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki apabila Marseille menduduki tempat kedua di belakang Paris Saint-Germain (PSG), kedudukan terbaik mereka dalam tujuh tahun.

Jurulatih Andre Villas-Boas berharap kembalinya Thauvin pada tahap kecergasan sebenar boleh mengurangkan jurang dengan PSG, yang akan memulakan kempen pada 10 September dan menanti kehadiran Marseille tiga hari kemudian.

"Saya sangat gembira menjaringkan gol. Terlalu lama saya tidak bermain, kecederaan paling lama dalam karier saya," kata Thauvin kepada Telefoot.

"Saya akui melalui tempoh yang sukar tetapi saya bekerja keras dan saya bangga kerana tidak berputus asa. Saya rasa saya berada pada tahap 70 atau 80 peratus," katanya.

Perlawanan pembukaan Marseille dijadualkan minggu lalu ditangguhkan kerana kelab berkenaan mencatatkan lima kes Covid-19.

Sementara itu, Nico Kovac meraih kemenangan pertamanya dalam Ligue 1 selepas memulakan tugas dengan AS Monaco apabila pasukannya berjaya mengalahkan Metz 1-0.

Pertahanan tengah, Benoit Badiashile menjaringkan gol buat kali kedua berturut-turut dan Monaco terpaksa beraksi dalam separuh perlawanan dengan 10 pemain selepas Youssouf Fofana diperintah keluar padang.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 12:15pm
d