arena

Saya tak kejar 'Kasut Emas' - Sylva

Oleh Malik Muhamad

SEBELUM ini nama penyerang baharu Terengganu FC (TFC), Dominique da Sylva tidak begitu popular dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), lebih-lebih lagi musim pertamanya dalam liga berprestij di Malaysia itu.

Namun selepas mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dengan mengumpul tujuh gol, penyerang tinggi lampai kelahiran Nouakchott, Mauritania itu iaitu negara yang berjiran dengan Algeria, Senegal dan Mali mulai menjadi sebutan di bibir peminat terutama penyokong setia skuad Penyu itu.

Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan Mauritania yang memulakan kariernya bersama kelab CS Staxien dalam Liga Tunisia selain pernah menyarung jersi kelab tersohor di Arab Saudi, Al Ahli, tetap merendah diri selain menyatakan dia tidak mengejar gelaran untuk muncul pemenang Kasut Emas.

Sebaliknya bekas pemain kelab Sai Gon dalam Liga Vietnam musim lalu berketinggian 1.80 meter itu berkata, tugasnya bersama skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu adalah memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Saya tidak pernah fikir untuk memburu gelaran sebagai penjaring terbanyak Liga M musim ini lebih-lebih lagi saya baharu musim ini mengenali liga itu kerana tahun pertama beraksi.

"Tugas saya bersama pasukan apabila diturunkan dalam setiap perlawanan adalah menjaringkan gol apabila ada peluang, ini peranan utama saya sebagai penyerang, manakala jumlah jaringan dalam setiap perlawanan atau berapa gol yang perlu saya jaringkan dalam setiap perlawanan tidak begitu penting.

"Sebaliknya tiga mata itu yang paling penting, lagipun saya lebih fokus dalam setiap perlawanan," katanya ketika ditemui selepas pasukannya membelasah Sabah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu lalu.

Dalam perlawanan itu, pemain yang menggantikan bekas penyerang TFC, Kipre Tchetche yang berhijrah ke Kedah musim ini meledak gol pertama pasukannya sekali gus mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super setakat ini.

Manakala rakan sepasukannya dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang meledak dua gol dalam perlawanan itu kini menduduki tempat kedua senarai penjaring terbanyak liga dengan menghasilkan empat gol.

Penyerang Pahang kelahiran Brazil, Ivan Carlos, Tchetche, Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Ifedayo Olesegun (Selangor) dan seorang lagi penyerang Kedah, Kpah Sherman masing-masing mengumpul tiga jaringan setakat ini.

Ketika ditanya adakah pasukannya yang kini berada di tangga kedua liga mampu menjadi pencabar kepada pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sylva enggan mendabik dada sebaliknya menyatakan semua pasukan dalam liga berpeluang kerana mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.

"Secara peribadi saya tidak tahu lebih lanjut mengenai pasukan JDT, tugas saya membantu pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan, lagipun bagi saya semua pasukan adalah sama perlu dihormati, jadi saya perlu lebih fokus dan lakukan yang terbaik buat pasukan," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 1:45pm
d