arena

Darul Aman FC nama baharu Kedah?

Oleh Izzali Ismail

DARUL Aman FC adalah antara nama yang mungkin akan dipilih untuk Kedah bagi melengkapkan proses penswataan kelab dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) seperti digariskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk Liga Malaysia pada musim ini.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Khamal Idris Ali, walaupun pemilihan nama baharu kelab belum lagi diumumkan, namun terdapat beberapa nama dalam pemilihan yang sedang dilakukan bagi melengkapkan proses penswataan itu yang dilaksanakan sebelum 30 September ini.

"Kita ada beberapa nama yang dipertimbangkan dan antaranya adalah nama Darul Aman FC, namun pemilihan nama syarikat baharu yang akan ditubuhkan ini adalah tertakluk kepada keputusan pemilihan akan diumumkan pengurusan KFA selepas ini.

"Sekiranya kita mahu menggunakan nama Kedah atau Darul Aman dipermulaan nama syarikat atau kelab, kita perlu mendapatkan keizinan dari pihak kerajaan negeri Kedah terlebih dahulu dan sekiranya diluluskan barulah kita boleh menjalankan pendaftaran selanjutnya.

"Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini sedang berusaha dengan cara yang terbaik untuk merealisasikan proses penswastaan ini dan saya yakin kita akan melengkapkan sepenuhnya proses ini dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Menyentuh mengenai espek penajaan, Khamal berkata pihak pengurusan KFA kini sedang mempertimbangkan pencalonan dari beberapa pihak yang dilihat berminat untuk menjadi rakan kongsi selepas penswastaan berlaku nanti.

"Saya dengar ada beberapa pihak berminat untuk bersama syarikat yang akan ditubuhkan nanti, namun KFA yang diterajui oleh Presiden Muhammad Sanusi Md Nor bersama pengurusan tertinggi kini sedang memperhalusi segala aspek penajaan demi kebaikan semua pihak sebelum meneruskan langkah seterusnya," katanya.

Menerusi kenyataan media sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan proses penswastaan tidak hanya membabitkan pembelian atau pengambilalihan pasukan oleh pihak luar daripada persatuan negeri.

Sebaliknya, persatuan negeri juga boleh menukar status kepada swasta dengan menubuhkan syarikat melalui proses pertukaran status dari pasukan persatuan bola sepak negeri (FA) ke pasukan bola sepak (FC) bagi musim depan.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 6:21pm
d