arena

Berani McMahon pandang rendah Undertaker

Oleh Agensi

BOS WWE, Vince McMahon pernah menolak untuk bertemu Undertaker kerana beliau beranggapan legenda itu hanyalah seorang yang mempunyai fizikal tinggi dan layak bermain bola keranjang sahaja.

Undertaker atau nama sebenarnya Mark Calaway bagaimanapun kemudiannya menjadi bintang yang amat diminati McMahon.

Namun sebulan sebelum penampilan pertamanya pada 1990, Undertaker gagal memikat hati McMahon.

Pengarah Eksekutif WWE, Bruce Prichard mendedahkan selepas Undertaker bertemu Lex Luger di Great American Bash, McMahon membatalkan pertemuan dengan The Deadman.

"Undertaker sepatutnya bertemu Vince sehari selepas perlawanan itu. Tapi ia tidak berlaku hanya kerana Vince tidak berpuas hati dengan fizikal Undertaker.

"Vince ketika itu berkata Undertaker adalah hanya seorang lagi bakat yang layak bermain bola keranjang dengan gaya rambut merahnya. Beliau tidak nampak sebarang keistimewaan Undertaker," katanya.

Undertaker yang bersara pada Jun lalu, bagaimanapun berjaya memenangi tujuh gelaran WWE dan kejuaraan heavyweight dunia sepanjang 21 tahun kariernya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 8:15pm
d