arena

Izaaq azam pertahan benteng Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMAIN pertahanan, Izaaq Izhan Yuswardi bertekad untuk terus bertindak agresif dalam membantu memastikan benteng Negeri Sembilan terus kukuh pada aksi Liga Perdana menentang Pulau Pinang, di Stadium Bandaraya, Jumaat ini.

Pemain berusia 24 tahun itu antara individu yang membantu mengawal kawasan pintu gol Negeri Sembilan apabila mereka berjaya menafikan kesungguhan jentera serangan Terengganu FC II (TFC II), pada perlawanan di Paroi, minggu lalu, yang berkesudahan Negeri Sembilan menang 1-0.

Bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diberi peranan bergandingan dengan Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Shahrom Kalam dan Matheus Fernandes Vila di posisi berkenaan dan ternyata berjaya menangkis serangan TFC II.

"Saya akan berikan persembahan terbaik jika mendapat kepercayaan jurulatih dan diturunkan pada perlawanan menentang Pulau Pinang, Jumaat nanti.

"Hasrat saya hanyalah untuk membantu memperkuatkan pasukan dan memastikan kemenangan yang kami capai ke atas TFC II minggu lalu, dapat diteruskan ke atas Pulau Pinang pula," katanya di sini, hari ini.

Izaaq bagaimanapun akui, dia belum begitu banyak pengalaman dalam menggalas tugas berat itu, namun sering mendapatkan tunjuk ajar daripada pemain senior seperti Norhafiz Zamani dan Shahrom.

Menurutnya, keyakinan dirinya ketika ini semakin meningkat hasil bantuan rakan-rakan dan akan terus bekerja keras meningkatkan lagi tahap persembahan pada perlawanan akan datang.

"Saya sedar tugas kami amat mencabar dalam usaha menamatkan baki enam perlawanan liga musim ini kerana Negeri Sembilan masih ketinggalan dengan pasukan lain selepas sekadar mencatatkan dua kemenangan daripada lima perlawanan.

"Tambahan pula, format perlawanan satu pusingan ini menuntut setiap pemain tidak boleh melakukan kesilapan dan perlu memberikan komitmen lebih 100 peratus.

"Saya berjanji untuk menggalas tanggungjawab itu dengan sepenuh perhatian, dan membantu memastikan pasukan dapat meneruskan rentak kemenangan, walaupun Pulau Pinang bukan lawan yang mudah," katanya.

Setakat ini, Negeri Sembilan yang mengumpul enam mata menduduki tangga ketujuh carta Liga Perdana berbanding Pulau Pinang di tangga kedua dengan 11 mata.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 4:28pm
d