arena

Apa sudah jadi Ferrari?

Oleh Agensi

FERRARI kecewa dan marah selepas meraih keputusan paling buruk dalam tempoh sedekad di Grand Prix Belgium, menurut prinsipal pasukan, Mattia Binotto.

Pasukan dari Itali itu yang turut memperolehi keputusan terburuk dalam sejarah mereka ketika sesi kelayakan Sabtu lalu gagal memperbaiki prestasi pada hari perlumbaan sebenar keesokan harinya.

Sebastian Vettel mengatasi Charles Leclerc di tempat ke-13 dengan kedua-dua pelumba menamatkan kedudukan di belakang pelumba Alfa Romeo, Kimi Raikkonen di atas litar sepanjang 7 kilometer itu.

"Kami kecewa dan marah, begitu juga penyokong kami yang mahu tahu apa masalah sebenar dihadapi pasukan kesayangan mereka,'' kata Binotto.

"Ia detik sukar musim ini yang kami tahu risikonya sejak awal musim tetapi kami perlu terus bersatu dan memandang ke hadapan bagi mengatasi masalah ini.

''Hanya itu caranya untuk kami menebus kembali kegagalan.''

Pencapaian di Spa bermakna kali pertama sejak Grand Prix British 2010, Ferrari gagal meraih sebarang mata walaupun kedua-dua jentera mereka berjaya menamatkan perlumbaan dengan Fernando Alonso dikenakan penalti ketika itu.

Ferrari kini menduduki tangga kelima kategori pengeluar tetapi hanya dua mata di atas Renault. Pasukan itu tidak pernah mengakhiri kedudukan di luar kelompok empat teratas sejak 1981.

Leclerc berkata, setakat ini Ferrari kekurangan kuasa ketika memotong walaupun mendapat bantuan DRS.

"Memang sangat mengecewakan, ia minggu yang sangat sukar buat kami,'' kata Leclerc.

"Perlumbaan ini tidak mudah ketika kami berdepan masalah di dua pit stop, kami kehilangan banyak masa dan posisi.

"Saya cuba mengejar tapi sangat sukar untuk memotong walaupun dengan bantuan DRS. Kami perlu bekerja keras dan berusaha mengatasi masalah ini.''

Sementara itu, rakan sepasukan, Vettel menggesa pasukan terus kekal bersatu dan bekerjasama dalam tempoh sukar itu.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 11:11pm
d