arena

Roglic laung amaran awal

Oleh AFP

PELUMBA pilihan, Primoz Roglic berjaya menakluk puncak pertama Tour de France (TDF) untuk muncul juara peringkat keempat namun masih gagal untuk mengetepikan pesaing utama, termasuk pendahulu keseluruhan Julian Alaphilippe.

Pada hari perlumbaan yang berjalan dengan lancar itu, Roglic berjaya melonjak ke tangga ketiga keseluruhan di belakang Alaphilippe dan Adam Yates, selepas dia berjaya memintas rakan senegara Slovenia, Tadej Pogacar dalam saingan sejauh 160.5 kilometer serta penamat berketinggian 1,850 meter dari aras laut.

Kekuatan utama yang dimiliki pelumba Jumbo-Visma itu adalah kudrat luar biasa untuk dia meluru pada saat akhir menuju ke garisan penamat.

"Ia sebenarnya hari yang penuh sukar dan saya berasa puas dapat memenangi perlumbaan ini. Saya sentiasa berasa selesa dari hari ke hari," kata bekas atlet luncur ais itu.

Dia mengakui bahawa Deceuninck (pasukan Alaphilippe) menetapkan perlumbaan lebih pantas dan menyedari hanya boleh memburu kejuaraan peringkat bukannya untuk merampas kedudukan pendahulu keseluruhan.

"Kita tahu Julian adalah seorang pelumba yang bertaraf juara, kita dapat lihat sendiri dia hampir menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan tahun lalu.

"Thibaut (Pinot) juga adalah salah seorang daripada pencabar dalam saingan kali ini," katanya yang merangkul juara peringkat TDF yang pertama sepanjang karier.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 11:33am
d