arena

Pemain harus bangkit - Roshadi

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab menggesa anak buahnya melupakan episod malang tumpas 1-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat lalu.

Menurutnya aksi berdepan Johor Darul Ta[zim (JDT II), di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini menjadi keutamaan sebagai medan kebangkitan semula menebus kembali tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan teratas Liga Perdana.

"Kekalahan kepada skuad Hobin Jang Hobin begitu memeritkan lebih-lebih lagi jaringan tunggal lawan dihasilkan pada minit terakhir perlawanan, tapi saya sudah ingatkan pemain perlu melupakan peristiwa itu.

"Dalam masa sama pemain sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi perlawanan keenam liga dan kekalahan kepada skuad Negeri Sembilan tempoh hari bakal dijadikan motivasi kepada mereka untuk terus memberi cabaran yang sengit hingga minit terakhir perlawanan kepada JDT II.

"Namun begitu pemain harus berhati-hati dengan taktikal lawan walaupun beraksi di laman sendiri kerana kita sedar lawan juga liat untuk ditumpaskan," katanya yang gembira dengan prestasi semasa anak buahnya yang terus gigih menjalani latihan.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Perdana, daripada lima perlawanan, skuad 'The Turtles' itu masih lagi menghuni di tangga teratas liga dengan mengutip 12 mata selepas melakar empat kemenangan dan tewas sekali.

Mengenai ketiadaan tonggak pertahanan importnya kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic, yang kini beraksi bersama pasukan Terengganu FC (TFC) selepas pemain skuad itu, Babacar Diallo mengalami kecederaan, Roshadi akui begitu terasa dengan ketiadaan pemain berketinggian 1.90 meter itu.

"Sememangnya kami sedikit terasa dengan ketiadaan Argzim di bahagian pertahanan terutama ketinggian yang dimiliki pemain itu, tapi ia bukan alasan dan saya mahu pemain yang diturunkan mampu menyajikan aksi berkualiti, bagi terus mendahului liga.

"Bagi mengisi posisi pertahanan itu, kami bakal memberi tugas kepada pemain muda, Che Mohamad Arif Che Kamaruddin yang mampu beraksi dengan baik sebagaimana dibuktikan ketika bertemu Negeri Sembilan tempoh hari," katanya yakin pemain itu bakal lebih matang pada aksi seterusnya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 1:46pm
d