arena

SAM sedia sumbang kepakaran pendigitalan

Oleh Syazwan Msar

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu menyumbang kepakaran dalam bidang pendigitalan kepada persatuan sukan seluruh negara melalui Bantuan Prihatin Sukan yang diperuntukkan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika merasmikan majlis Anugerah SAM-100 Plus 2019 semalam mempelawa SAM untuk turut serta membantu persatuan sukan yang diberikan peruntukan RM30,000 bagi meningkatkan maklumat menerusi platform digital masing-masing.

Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie menyifatkan peluang yang diberikan oleh KBS itu amat bermakna kepada pengamal media sukan yang sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

"Kita boleh menawarkannya kepada ahli SAM, sebahagiannya adalah `free-lancer' atau yang menganggur sekarang, untuk menyumbangkan pengetahuan dan kepakaran mereka bagi membantu persatuan-persatuan sukan.

"Secara tidak langsung, ia mungkin boleh memberikan mereka pendapatan sampingan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kerja tetap pada masa ini,'' katanya, di sini.

Sebelum itu, KBS memperuntukkan kira-kira 10 juta ringgit kepada persatuan sukan di seluruh negara untuk mereka meningkatkan maklumat serta info mengenai aktiviti mereka melalui platform digital seperti laman web dan media sosial.

Pada masa sama, SAM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan yang mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 dan subsidi RM50,000 untuk membiayai sewa ruang pejabat persatuan itu bagi tempoh dua tahun di tempat pilihan yang bersesuaian.

"Kami amat berterima kasih atas perhatian KBS terhadap persatuan ini yang turut bersama-sama membantu kemajuan sukan negara melalui laporan dan ulasan di media," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 9:10pm
d