arena

Karolina tersingkir di Terbuka AS

Oleh AFP

PILIHAN utama, Karolina Pliskova tersingkir daripada saingan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) pagi ini, selepas tewas straight set ke atas pemain Perancis, Caroline Garcia.

Karolina yang diangkat sebagai pilihan utama kejohanan di New York itu berikutan penarikan diri beberapa pemain ranking tertinggi dunia gagal menampilkan persembahan terbaik sebelum tewas 6-1, 7-6 (7/2) dalam aksi meyakinkan dipamerkan Caroline.

Caroline, pemain ranking ke-50 dunia bakal berdepan pemain AS dan pilihan ke-28, Jennifer Brady pada pusingan ketiga kejohanan pada Jumaat ini.

Ia penyingkiran yang mengejutkan buat Karolina pemain berusia 28 tahun yang juga pilihan ketiga dari Republik Czech, yang dilihat bergelut selepas permulaan kurang meyakinkan.

Karolina berkata kekalahannya tiada kena mengena dengan pemilihannya sebagai pemain utama kejohanan selepas penarikan diri beberapa pemain ranking tertinggi dunia kerana kebimbangan penularan Covid-19.

"Tidak, tiada tekanan buat saya kerana pemilihan itu. Ia tiada kena mengena dengan kekalahan saya pada hari ini," ujarnya.

Pada aksi lebih awal, pemain pilihan keenam, Petra Kvitova mengetepikan Kateryna Kozlova dari Ukraine 7-6 (7/3), 6-2.

Pemain Jerman, Angelique Kerber pula menewaskan rakan senegara, Anna-Lena Friedsam dalam straight set.

Pemain pilihan ke-17 itu menang 6-3, 7-6 (8/6) dalam aksi satu jam 40 minit di Stadium Louis Armstrong.

Sementara pemain bukan pilihan dari Russia, Varvara Gracheva menyingkirkan pemain pilihan ke-30 dari Perancis, Kristina Mladenovic 1-6, 7-6 (7/2), 6-0.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 7:07am
d