arena

Djokovic bergelut mara ke pusingan ketiga

Oleh AFP

NOVAK Djokovic bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus melanjutkan rekod tanpa kalah dalam 25 perlawanan tahun ini.

Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia, tewas di set pertama ke atas pemain Britain, Kyle Edmund namun bangkit mencatat kemenangan 6-7 (5/7), 6-3, 6-4, 6-2 di Stadium Arthur Ashe dekat Flushing Meadows.

"Saya bersyukur kerana mengharungi beberapa perlawanan awal yang sukar kerana ia memberi ruang untuk lebih bersedia pada aksi seterusnya di kejohanan ini," kata Djokovic.

Pencapaian bintang Serbia itu menghampiri Roger Federer dan Rafael Nadal dalam pemburuan pemenang rekod kejuaraan terbanyak perseorangan lelaki Slam, ketika kedua-dua bintang utama itu tidak beraksi di Flushing Meadows.

Djokovic, 33, memenangi kejuaraan Terbuka Australia buat kali lapan pada Februari iaitu gelaran ke-17, ketika Nadal mencatat 19 dan Federer pula 20 kejuaraan.

Sementara itu, pilihan kelima yang juga pemain nombor tujuh dunia, Alexander Zverev menewaskan pemain wildcard tuan rumah, Brandon Nakashima dalam pertarungan sengit 7-5, 6-7 (8/10), 6-3, 6-1 untuk mara ke pusingan ketiga.

Pemain pilihan ketujuh dari Belgium, David Goffin turut mara ketika pilihan utama kejohanan meneruskan penguasaan di Pusat Tenis Kebangsaan Billie Jean King itu.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 8:10am
d