arena

TFC berdepan ujian getir temu Melaka

Oleh Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) berdepan ujian getir apabila berdepan Melaka dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang cemerlang pada dua aksi terakhir sebelum ini menumpaskan PJ City (2-0) dan Sabah (4-0) Sabtu lalu, bakal berdepan ranjau berduri kerana skuad Hang Tuah sukar dijinakkan.

Malah atas kertas skuad kendalian Zainal Abidin Hasan itu dilihat lebih baik dengan dibarisi ramai pemain berpengalaman termasuk bekas kapten negara, Syafiq Rahim selain tonggak importnya juga berkualiti.

Ini diakui Nafuzi yang mengingatkan anak buahnya tidak mengambil mudah pertemuan dengan pasukan itu sebaliknya perlu lebih fokus dan berwaspada dalam aksi keenam Liga Super.

Namun, jika anak buah Nafuzi bijak menggunakan peluang terhidang di depan gol serta mampu menguasai di bahagian tengah sebagaimana dibuktikan ketika bertemu Sabah dan PJ City, skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu pasti pulang tersenyum.

"Kita tahu Melaka berjaya melakar kemenangan 1-0 menewaskan Perak di tempat lawan Sabtu lalu, jadi sudah tentu bukan tugas mudah buat pemain kami beraksi di Stadium Hang Jebat.

"Saya harap pemain mampu mengekalkan momentum permainan mereka dan terus fokus serta perlu bekerja lebih keras pada perlawanan itu dan perlawanan akan datang bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam saingan liga," kata bekas penyerang Terengganu itu.

Selain pertembungan taktikal Nafuzi dan Zainal, perlawanan malam esok juga bakal tertumpu kepada penjaring terbanyak liga setakat ini dengan tujuh gol, Dominique Da Sylva sama ada pemain TFC itu mampu melebarkan lagi jumlah jaringan ataupun bakal dirantai pertahanan tuan rumah.

TFC di tangga kedua liga mengutip 10 mata hasil lima perlawanan, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta`zim (JDT) manakala Melaka keenam dengan enam mata.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 1:05pm
d