arena

Syaidatul bersara wakili negara

Oleh Saiful Affendy Sapran

"KEPUTUSAN drastik ini adalah untuk menentukan hala tuju saya. Sudah tiba masanya saya fikir karier sebab saya berani mencuba pelbagai bidang."

Demikian pengakuan bintang tenpin boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi yang mengambil keputusan untuk bersara pada usia 29 tahun selepas 11 tahun mewakili negara untuk mencuba bidang baharu termasuk pengacaraan.

Sudah menghantar surat menarik diri daripada skuad kebangsaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Syaidatul berkata soal untuk bersara sudah lama difikirkannya.

"Saya dapat tawaran banyak kerja tapi ketika itu saya ambil keputusan untuk menolaknya kerana masih terikat dengan skuad kebangsaan. Keputusan bersara ini bagi saya adalah tepat.

''Di luar sana lebih menjamin masa depan. Saya tidak katakan boling tak jamin masa depan tetapi ia juga membuatkan orang kenal saya," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Syaidatul, dia hanya bersara daripada skuad kebangsaan dan tetap akan mencurahkan ilmu dan pengalamannya kepada generasi lebih muda.

"Saya tak bersara 100 peratus. Masih lagi bermain boling dan melatih bakat baru di kejohanan seperti Terbuka Malaysia. Sekarang sudah ada satu tempat kosong di dalam skuad negara untuk menggantikan tempat saya. Saya doakan kejayaan semua dan ingatlah bukan senang untuk capai tahap tertinggi," katanya.

Antara pencapaian terbaik Syaidatul adalah memenangi pingat emas acara berpasukan wanita di Kejohanan Boling Dunia 2017.

Syaidatul juga memenangi emas Sukan Asia 2018 di Palembang menerusi acara trio.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 6:42pm
d