arena

Atlet junior galas misi Sukan Sea

Oleh Aida Adilah Mat

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak kisah sekiranya terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk menghantar atlet junior ke Sukan Sea Vietnam seperti diinginkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada mesyuarat kriteria pemilihan Sukan Sea antara MOM dan persatuan sukan hari ini, Presiden KOM Datuk SM Muthu berkata, KOM kini menimbang untuk menghantar seramai 60 peratus atlet junior dan 40 peratus senior.

Bagaimanapun, beliau menuntut kerjasama dari semua pihak untuk merealisasikan perkara itu.

"Ada sedikit perubahan pada penyertaan atlet ke Sukan Sea kali ini yang mana kita mahu menyenaraikan lebih ramai atlet junior.

"KOM sudah mencuba pendekatan itu dengan menghantar 40 peratus atlet junior pada Sukan Sea lalu. Pasal kos itu jangan diambil kira, kalau nak pingat kita perlu berkerjasama," katanya.

Begitupun, tiada jaminan kesemua pemenang lima pingat emas di Sukan Sea Filipina yang lalu akan layak secara automatik ke temasya dwi tahunan itu.

Sementara itu ketua jurulatih, Mohd Manshahr Abdul Jalil berkata, KOM masih belum memutuskan sasaran serta kriteria pemilihan atlet ke Sukan Sea yang mana perkara itu akan dinilai semula selepas atlet menyertai beberapa pertandingan selepas ini.

Pada temasya Sukan Sea Filipina tahun lalu, skuad olahraga negara menyumbangkan lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.

Emas disumbangkan Haiqal Hanafi (100m), Hakimi Ismail (lompat kijang), Lee Hup Wei, Yap Sean Yee (lompat tinggi) dan Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 8:33pm
d