arena

Dollah tukar taktikal lawan UiTM

Oleh Asrol Awang

KECEDERAAN Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos meresahkan pengendali Pahang, Dollah Salleh apabila berdepan UiTM FC di Stadium UiTM, malam esok.

Dua pemain import itu ditimpa kecederaan ketika berlatih kelmarin, membuatkan Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan perlu menukar taktikal.

"Jika dilihat kepada kecederaan dialami Nwakaeme dan Carlos, mereka mungkin tidak disenaraikan ketika saya begitu mengharapkan mereka dapat beraksi.

"Dalam hal ini, saya perlu memikirkan percaturan lain terutama menajamkan lagi jentera serangan dan mengukuhkan bahagian pertahanan.

"Tanpa mereka persiapan pasukan sedikit terjejas dan UiTM bukan pasukan yang mudah ditewaskan berdasarkan keputusan dilakar pada perlawanan sebelum ini," katanya.

Pada perlawanan malam esok, beliau berkata, sandaran utama bakal diletakkan kepada Mohd Faisal Abdul Halim untuk mengetuai jentera serangan skuad Tok Gajah.

Katanya, satu gol ketika Pahang tewas 2-3 kepada Johor Darul ta'zim (JDT) diharap memberi inspirasi buat Faisal untuk muncul selaku penjaring.

"Namun, semua pemain perlu berwaspada dengan barisan pemain UiTM terutama rekod mereka selepas lima perlawanan.

"Oleh itu apa yang perlu dilakukan pemain ialah untuk memastikan Pahang mengutip tiga mata untuk kembali memperbaiki kedudukan lebih baik," katanya.

Pahang kini berada di kedudukan ketujuh dengan enam mata manakala tujuh mata yang diraih meletakkan UiTM di tempat kelima saingan Liga Super.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 9:09pm
d