arena

Khairul mampu catat bawah 10 saat

Oleh Aida Adilah Mat

PENGARAH teknikal olahraga, Dwayne Miller yakin Malaysia mampu mempertahankan emas pada temasya Sukan Sea Vietnam tahun depan menerusi Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi.

Malah bukan itu saja, beliau yang mula membimbing skuad olahraga sejak Oktober tahun lalu berkata, akan ada pelari negara mampu untuk mencipta catatan di bawah 10 saat (s).

Namun semula itu perlu berdasarkan strategi yang betul dan pelari perlu bebas daripada sebarang kecederaan.

Kata Miller, antara yang berpotensi melakukan catatan itu adalah Khairul Hafiz kerana dia cukup berbakat dan tidak mustahil atlet kelahiran Melaka itu mampu menjadi atlet Malaysia pertama berlari di bawah 10s.

''Saya rasa tiada masalah untuk Khairul melakukan catatan itu. Tapi untuk itu dia perlu memastikan dirinya cergas sepenuhnya dan bebas dari sebarang kecederaan.

''Tapi dia perlu kembali mendapatkan semula rentak larian sama seperti ketika dia melakukan catatan 10.18s,'' katanya.

Catatan terbaik atlet kelahiran Merlimau itu adalah 10.18s dicatat pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, yang juga rekod kebangsaan.

Bagaimanapun, rentak larian terjejas tahun lalu ekoran dihantui kecederaan berulang yang berpunca daripada kecederaan hamstring dialami selepas dia merangkul emas di Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2017.

Kecederaan itu seterusnya antara punca dia gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Sea Filipina namun Haiqal menjadi wira negara apabila melakar kejutan mempertahankan emas di Sukan Sea

Tegas Miller, memang beliau akui Khairul adalah pelari yang pantas namun perlu diingat pantas tidak semestinya cergas.

Ketika ini seramai 13 atlet di bawah kendalian Miller termasuk barisan pelari pecut terdiri daripada Jonathan Nyepa dan Zulfiqar Ismail.

Beliau turut membimbing pelari 400 meter seperti Ruslem Zikry Putra. Selain atlet lelaki, barisan atlet pecut wanita turut di bawah pengawasannya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 10:04pm
d