arena

Yakin kekal emas

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pengarah teknikal olahraga, Dwayne Miller yakin Malaysia mampu untuk mempertahankan emas pada temasya Sukan Sea Vietnam tahun depan menerusi Khairul Hafiz Jantan atau Haiqal Hanafi.

Malah bukan itu saja, beliau yang mula membimbing skuad olahraga sejak Oktober tahun lalu berkata, akan ada pelari negara mampu untuk melakarkan catatan di bawah 10 saat (s).

Namun semula itu perlu berdasarkan strategi betul dan pelari perlu bebas daripada sebarang kecederaan.

Kata Miller, antara yang mempunyai potensi untuk melakukan catatan itu adalah Khairul Hafiz kerana dia seorang pelari berbakat dan tidak mustahil atlet kelahiran Melaka itu mampu menjadi atlet Malaysia pertama berlari di bawah 10s.

"Saya rasa tiada masalah untuk Khairul melakukan catatan itu. Untuk itu dia perlu memastikan dirinya cergas sepenuhnya dan bebas daripada sebarang kecederaan. Dia perlu kembali mendapatkan semula rentak larian sama seperti ketika dia melakukan catatan 10.18s," katanya.

Catatan terbaik atlet kelahiran Merlimau itu adalah 10.18s dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, yang juga rekod kebangsaan.

Bagaimanapun, rentak larian terjejas tahun lalu berikutan dihantui kecederaan berulang yang berpunca daripada kecederaan hamstring selepas dia merangkul emas di Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2017.

Kecederaan itu menyebabkan dia gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Sea Filipina, namun Haiqal menjadi wira negara apabila melakarkan kejutan mempertahankan emas di Sukan Sea.

Tegas Miller, memang beliau akui Khairul adalah pelari pantas, namun perlu diingat pantas tidak semestinya cergas.

"Selepas dua minggu saya lihat dia dan Haiqal masih belum mencapai tahap kecergasan optimum. Kecergasan adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan kerana jika atlet tidak cergas itu yang mengundang kepada kecederaan.

"Bagaimanapun tidak mengapa, ketika ini tidak ada apa yang perlu dikejarkan kerana tiada sebarang pertandingan. Masih ada banyak masa lagi sebelum Sukan Sea. Banyak perkara yang boleh dilakukan sekarang ini dalam usaha membentuk seorang pelari pecut terbaik," katanya.

Ketika ini seramai 13 atlet di bawah pengawasan Miller termasuk barisan pelari pecut terdiri daripada Jonathan Nyepa dan Zulfiqar Ismail. Beliau turut membimbing pelari 400 meter seperti Ruslem Zikry Putra.

Selain atlet lelaki, barisan atlet pecut wanita turut di bawah kendaliannya.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 6:00am
d