arena

Mana duit aku?

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ibarat 'jatuh ditimpa tangga' apabila seorang demi seorang bekas pemainnya mula menuntut tunggakan gaji dan kali ini ia bakal diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Skuad Tok Gajah ketika ini bukan saja sedang berdepan tuntutan lebih RM1 juta daripada bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh, malah PBNP turut berdepan tuntutan bekas importnya, Francis Forkey Doe yang sudah hilang sabar dengan Pahang.

Menurut sumber terdekat pemain dari Liberia itu, Pahang didakwa gagal melunaskan tunggakan gajinya sepanjang musim 2018 lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM746,500.

Jelasnya, tindakan mengheret ke Fifa adalah jalan terakhir yang perlu diambil selepas beberapa notis dan surat tuntutan tidak dilayan PBNP sebelum ini.

Lantas, Forkey Doe terpaksa memilih jalan itu bagi menuntut haknya yang dinafikan bekas majikannya.

"Pada 2018 (Forkey Doe) menandatangani kontrak selama semusim dengan PBNP tapi ditandatangan tanpa ejen dan biasanya pembayaran gaji mereka tunai saja.

"Gaji dia untuk bulan pertama dan kedua dibayar. Masuk bulan ketiga ketika Pahang menentang Kedah pada pusingan ketiga Piala FA, dia mengalami ACL (kedeceraan anterior cruciate ligament) dan selepas itu dia terus hilang daripada pasukan.

"Dia juga hairan kenapa layanan pengurusan pasukan yang buat tak tahu dengan kos rawatan kecederaan terpaksa guna duit sendiri sedangkan dalam kontrak jelas pembiayaan kecederaan ditanggung pasukan.

"Pahang seolah biarkan dia macam itu saja. Dia sudah beberapa kali hubungi dan beri notis tuntutan tapi Pahang senyap saja. Isu ini akan di bawa ke Fifa kerana sebagai pemain import dia boleh heret ke Fifa," katanya eksklusif kepada Arena Metro semalam.

Menurut sumber itu lagi, Forkey Doe juga tidak pernah bersetuju untuk menamatkan kontrak pada awal musim 2018 itu.

"Sebelum ini Forkey Doe ada mengambil peguam luar dan Pahang buat satu surat mengatakan dia setuju untuk tamatkan kontrak. Tapi sebenarnya, Forkey Doe tak pernah pun membuat surat itu. Mungkin sebab surat itulah seolah Pahang tak mahu layan Forkey Doe."

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 6:01am
d