arena

Peters tunjuk handal mendaki

Oleh AFP

NANS Peters kali pertama berjaya memenangi perlumbaan peringkat di Tour de France (TDF) awal pagi tadi dengan Adam Yates terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan selepas melalui laluan sukar di Pyrenean menyebabkan beberapa kejutan di peringkat kelapan.

Di antara mangsa yang terbabit dalam kejutan itu ialah pendaki Perancis, Thibaut Pinot, yang terlepas peluang untuk bersaing dalam perubatan kedudukan pendahulu keseluruhan.

Peters meraih kejuaraan selepas meredah tiga pendakian utama dengan melakukan 'breakaway' bersendirian dari jarak yang jauh meninggalkan pelumba lain.

"Saya memberitahu kepada diri saya sendiri, ialah sentiasa percaya, percaya dan terus percaya," kata pelumba AG2R yang menamatkan perlumbaan sejauh 141 kilometer dari Cazeres-sur-Garonne ke Loudenvielle dalam tempoh empat jam.

Terdapat juga pertarungan sengit pada pendakian terakhir di Col de Peyresourde yang sangat digeruni semua pelumba.

Yates, penyandang juara Tour de France, Egan Bernal dan pendaki Perancis, Romain Bardet kesemuanya gagal untuk mengerah kudrat untuk sekurang-kurangnya muncul juara perlumbaan.

Yates mengatasi Primoz Roglic dengan kelebihan tiga saat, manakala wakil tuan rumah, Guillaume Martin ketinggalan sembilan saat.

Bernal yang mewakili Ineos di kedudukan kelima keseluruhan dengan ketinggalan 13 saat.

"Ia satu pendakian yang sangat laju. Saya hanya mengikut rentak kayuhan sendiri dan menjaga masa saya, akhirnya saya kekal sebagai pendahulu," kata Yates.

Yates, yang mempunyai saudara kembar, Simon iaitu pemenang dua peringkat perlumbaan TDF tahun lalu, mengakui ibu bapa mereka juga berada dalam pengembaraan perlumbaan dan berharap mempunyai masa untuk duduk bersama.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 9:26am
d