arena

Sepatutnya Barcelona lepaskan Messi - Enrique

Oleh AFP

BEKAS jurulatih Barcelona, Luis Enrique, yang sekarang ini membimbing Sepanyol, menyarankan agar kelab berkenaan harus membenarkan Lionel Messi meninggalkan mereka.

"Ia isu yang sensitif. Saya rasa kelab berada paling atas berbanding pemain. Barcelona ditubuhkan pada 1899 dan salah satu pasukan terbaik di dalam dunia.

"Memang jelas wujudnya hubungan yang hebat, Leo menjadikan Barca berkembang dengan pesat tapi saya lebih menyukainya jika ada persetujuan," kata Enrique menjelang aksi Sepanyol menentang Ukraine hari ini.

Enrique bekerjasama dengan Messi di Barca dari 2014 hingga 2017 dan mereka berjaya meraih 'treble' bersama-sama pada 2015.

"Lambat-laun Messi akan berhenti beraksi dengan Barca. Kelab berkenaan akan meneruskan meraih gelaran tanpa Messi, sama juga Messi akan meneruskan kehebatan walaupun dia sudah meninggalkan Barca," katanya.

Messi berkata dia akan kekal di Barcelona sambil menegaskan tidak akan ke mahkamah menentang kelab sepanjang hidupnya namun berang dengan tindakan presiden, Josep Maria Bartomeu.

Dia mendakwa Bartomeu melanggar perjanjian dengan enggan melepaskannya secara percuma selepas berakhir musim lalu.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 12:48pm
d