arena

Gundogan kecewa Jerman seri lagi

Oleh AFP

IIKAY Gundogan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas Jerman masih gagal mencatatkan kemenangan buat kali kedua dalam tempoh seminggu pada saingan Liga Negara-Negara selepas sekadar seri 1-1 ketika bertemu Switzerland, hari ini.

Gundogan meletakkan Jerman di depan pada minit ke-14 namun pertahanan Switzerland, Silvan Widmer menyamakan kedudukan minit ke-57 pada perlawanan yang berlangsung secara tertutup di Basel.

Jerman juga seri 1-1 ketika bertemu Sepanyol, Khamis lalu selepas gawang mereka bolos di hujung perlawanan pada aksi di Stuttgart, Jerman. Mereka kini menduduki tangga ketiga Liga A, Kumpulan 4.

"Saya sangat kecewa. Kami mula menunjukkan kelemahan pada separuh masa pertama apabila sering kehilangan bola.

"Kami berada di kedudukan yang baik tetapi sekali lagi kami gagal mencatatkan kemenangan.

"Kami gagal mencari penyudah yang tepat dan barisan pemain nampak agak keletihan" kata Gundogan.

Selepas seri dengan Sepanyol, ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew mengadu mengenai jadual padat yang perlu dilalui anak buahnya apabila terpaksa beraksi lapan perlawanan dalam tempoh tiga bulan.

Barisan pemainnnya kelihatan kepenatan berbanding Switzerland lebih meyakinkan.

"Malangnya kami meraih keputusan yang sama seperti ketika bertemu Sepanyol," kata kapten Jerman, Toni Kroos.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:46am
d