arena

Djokovic disingkir dengan cara memalukan

Oleh AFP

NOVAK Djokovic dibatalkan penyertaannya pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas bola yang dipukulnya terkena leher penjaga garisan wanita pada saingan 16 terakhir sekali gus menyaksikannya disingkirkan daripada kejohanan itu.

Pemain nombor satu dunia itu dilihat memukul bola keluar dengan perasaan kecewa selepas ketinggalan 5-6 pada set pertama kepada pemain bukan pilihan dari Sepanyol, Pablo Carreno Busta di Stadium Arthur Ashe.

Djokovic dilihat memandang ke arah lain ketika mengeluarkan bola dari poket seluarnya sebelum memukul keluar dan terkena penjaga garisan.

Penjaga garisan itu kemudian dilihat bergelut untuk bernafas ketika terduduk di tepi gelanggang.

Djokovic kemudian pantas meluru ke arah penjaga garisan itu untuk melihat situasinya. Selepas perbincangan selama 10 minit antara Djokovic dan pengadil perlawanan, pengadil memutuskan kemenangan berpihak kepada Carreno Busta.

Djokovic kemudian bersalam dengan lawannya itu sebelum meninggalkan gelanggang tanpa menghulurkan salam dengan pengadil perlawanan.

Dia kemudian terus meluru ke keretanya dan meninggalkan Flushing Meadows tanpa bercakap dengan pihak media.

Namun Djokovic menerusi akaun Instagram miliknya kemudian memohon maaf atas insiden itu.

"Situasi itu menyebabkan saya berasa amat sedih. Saya memeriksa penjaga garisan dan dimaklumkan dia berada dalam keadaan baik. Saya memohon maaf kerana menjadi penyebab kepada insiden itu," katanya.

Sementara itu, Carreno Busta berkata dia agak terkejut dan tidak dapat melihat insiden itu dengan jelas.

"Selepas saya melihat penjaga garisan terduduk di tepi gelanggang, saya agak terkejut. Saya tidak menjangkakan situasi seperti ini apabila bertemu Novak," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 7:34am
d