arena

Mickey gesa Tok Gajah bangkit

Oleh Asrol Awang

PERASAAN kecewa tidak dapat disembunyikan penyerang Pahang, Mohd Faisal Abdul Halim selepas skuad itu tewas 0-1 kepada UiTM FC, kelmarin.

Mohd Faisal atau Mickey berkata, kekalahan itu memberi impak bukan sahaja dirinya, malah rakan lain kerana mengalami dua kekalahan berturut-turut.

"Saya akui terkilan dan kecewa kerana kami gagal mencatat kemenangan ketika pasukan begitu mengharapkannya untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super.

"Namun, segalanya tidak menjadi untuk menghalang tuan rumah (UiTM) mengutip tiga mata ketika kami juga mempunyai peluang menjaringkan gol.

"Kekalahan ini amat dirasai kerana kami hanya mencatat dua kemenangan dan merekodkan empat kekalahan daripada enam perlawanan setakat ini.

"Mahu atau tidak kami tidak boleh tewas pada baki lima perlawanan untuk mengelak berada di tangga bawah liga," katanya.

Selepas enam perlawanan, skuad kendalian Dollah Salleh menghuni tangga kelapan liga dan belum melakar kemenangan sebaik saingan Liga Super bersambung.

Dua kekalahan di tangan UiTM dan Johor Darul Ta'zim memerlukan kebangkitan untuk kembali meletakkan skuad Tok Gajah pada kedudukan lebih baik.

Sehubungan itu, Mohd Faisal mengharapkan perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur Sabtu ini akan berpihak kepada Pahang.

"Kami tidak boleh tewas tetapi pada masa sama tidak boleh memandang mudah keupayaan The Cops yang turut sama mahu mencatat kemenangan.

"Saya cuma mengharapkan masalah kecederaan yang dihadapi pasukan dapat diatasi sebelum berdepan PDRM yang menuntut komitmen tinggi daripada semua," kata pemain berumur 22 tahun itu.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 5:54pm
d