arena

Kita mampu cipta kejutan - LCW

Oleh Syazwan Msar

''JIKA ini saja yang kita ada, yakinlah dengan mereka untuk menggalas cabaran di Piala Thomas.''

Itu reaksi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terhadap barisan pemain yang akan menggalas cabaran bagi mengharungi saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, bulan depan.

Melihat kepada barisan pemain diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin jelas sekali agak sukar untuk membawa pulang piala berkenaan apabila rata-rata daripada mereka boleh dikatakan kurang berpengalaman dan tidak menduduki ranking terbaik dunia. Namun,bagi pemenang pingat perak Olimpik 2016 itu berkata, ketika ini Malaysia turut mempunyai kelebihan apabila tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang piala terbabit.

Beliau berkata, situasi terbabit menyebabkan pasukan lawan terlepas pandang kekuatan pemain negara sekali gus memberi peluang dan ruang untuk melakukan kejutan pada kejohanan itu.

''Sekarang ini kita hanya ada pemain ini untuk mewakili negara dan sudah tentu BAM melakukan kajian dan pemilihan secara teliti sebelum memilih mereka yang layak ke piala Thomas.

''Saya percaya ada antara pemain negara nanti bakal melakukan kejutan dan itulah sebenarnya senjata rahsia Malaysia apabila akan mempamerkan aksi luar biasa dalam situasi yang tak diduga,'' katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, BAM mengeluarkan senarai nama pemain ke Piala Thomas dengan kelibat beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sah tidak akan bersama skuad negara Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu tetap dengan pendirian tidak akan menyertai rakannya yang lain untuk ke Denmark atas sebab tertentu.

Selain itu, pemain badminton nombor satu negara Lee Zii Jia akan mengetuai pasukan bersama Liew Daren, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

Kategori beregu pula, BAM mempertaruhkan gandingan emas Sukan Sea 2019 Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain turut menyenaraikan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Di Aarhus, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia, England dan Belanda manakala pemain wanita berada dalam Kumpulan B yang dibarisi Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:10pm
d