arena

Mbappe pula positif Covid-19

Oleh AFP

KYLIAN Mbappe diketepikan daripada skuad kebangsaan Perancis bertemu naib juara Piala Dunia, Croatia awal pagi esok di Liga Negara-Negara selepas didapati positif Covid-19.

Mbappe yang menjalani latihan pada sebelah petang semalam sebelum keputusan ujiannya diperolehi, adalah pemain Paris Saint-Germain (PSG) ketujuh yang didapati positif Covid-19.

Bintang Brazil dan PSG, Neymar antara yang terawal positif wabak itu minggu lalu.

"Dia diketepikan daripada pasukan selepas menerima keputusan ujian pada hujung sesi latihan sebelum kembali ke rumahnya," kata pasukan kebangsaan dalam satu kenyataan.

"Seperti barisan pemain lain, Mbappe sudah menjalani ujian sebelum turun pada perlawanan sebenar. Keputusan yang diperolehi sebelum ini adalah negatif menjelang pertemuan dengan Sweden, Sabtu lalu di Solna.

Mbappe menjaringkan gol tunggal ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sweden pada aksi pembuka tirai Liga Negara-Negara.

Bagaimanapun, dia sememangnya mahu direhatkan untuk perlawanan bertemu Croatia di Stade de France dengan aksi pertama PSG pada musim baharu Ligue 1 dijadualkan pada Khamis ini bertemu Lens.

Pertemuan dengan Lens sepatutnya berlangsung pada 29 Ogos lalu tetapi ditangguhkan untuk memberi tempoh rehat kepada PSG selepas melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara di Lisbon 23 Ogos lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Bayern Munich.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 9:34am
    d