arena

Thiem buru Grand Slam pertama

Oleh AFP

DOMINIC Thiem, 27, mengakui berasa pelik kerana menjadi salah seorang pemain tertua yang masih meneruskan saingan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas berjaya mara ke suku akhir.

Pilihan kedua itu menewaskan bintang sedang meningkat naik berusia 20 tahun, Felix Auger-Aliassime dari Kanada 7-6 (7/4), 6-1, 6-1 di gelanggang Arthur Ashe.

Pemain Austria itu memenangi 74 peratus mata menerusi pukulan servis berbanding 60 peratus sahaja diperolehi Auger-Aliassime.

Thiem yang juga pemain ranking ketiga dunia, adalah satu-satunya pemain ranking tertinggi yang masih kekal beraksi di kejohanan itu selepas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dibatalkan penyertaannya kerana bola yang dipukulnya terkena leher penjaga garisan pada saingan 16 terakhir.

Ketiadaan pemain berusia 33 tahun itu menyaksikan kejuaraan kini terbuka kepada mana-mana pemain termasuk Thiem yang sedang memburu gelaran Grand Slam pertamanya.

"Saya mungkin salah seorang pemain tertua di atas gelanggang," kata Thiem.

Dia adalah pemain kedua tertua pada saingan suku akhir di belakang Pablo Carreno Busta yang berusia 29 tahun.

Thiem akan beraksi menentang pemain Australia berusia 21 tahun, Alex de Minaur untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 10:58am
d