arena

Sumareh mungkir janji - PBNP

Oleh Asrol Awang

PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak pernah gagal dalam membuat pembayaran gaji kepada Mohamadou Sumareh.

Menerusi kenyataan media hari ini, perjanjian yang ditandatangani dan atas persetujuan yang dicapai antara kedua-dua pihak, perkara itu dalam pengetahuan pemain kelahiran Gambia itu.

"Pemain itu sebenarnya gagal mematuhi terma dan syarat perjanjian yang ditandatangani dengan tidak menghadiri sesi latihan sejak 3 Ogos lalu mengikut jadual yang ditetapkan oleh PBNP dan juga beberapa perlawanan Liga Super yang kembali bersambung bulan lalu.

"Penamatan secara sebelah pihak seperti dilaporkan di dalam media adalah bertentangan dengan perjanjian atas sebab pemain itu sebenarnya masih mempunyai ruang untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkannya pada peringkat dalaman seperti tertera di dalam perjajian.

"Oleh yang demikian, adalah terang dan jelas bahawa Sumareh gagal untuk mematuhi tatacara yang ditetapkan di dalam perjanjian termasuk peraturan semasa yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Maka PBNP mempunyai asas yang kukuh untuk mengatakan bahawa pemain itu memungkiri pelbagai terma dan syarat seperti termaktub di dalam perjanjian yang ditandatangani," katanya dalam kenyataan itu.

Justeru, PBNP akan mengambil tindakan yang bersesuaian dari segi undang-undang terhadap pemain tengah itu menurut perjanjian yang ditandatangani berasaskan kepada peraturan berkaitan yang ditetapkan oleh FAM.

Baru-baru ini, Sumareh mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang sejak sebulan lalu.

Difahamkan, dia bertindak demikian kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP.

Malah, Sumareh didakwa sudah membatalkan kontrak bersama Tok Gajah dengan mengaktifkan klausa 8.7.

Semalam, Sumareh mengumumkan menyertai kelab dari Thailand, Police Tero FC selepas membuat keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung.

Menerusi video ringkas, pemain berumur 26 tahun itu memberikan ucapan kepada penyokong kelab Thailand itu.

"Hello kepada semua penyokong pasukan Police Tero FC, saya Mohamadou Sumareh. Jumpa anda nanti di Bangkok, terima kasih," kata Sumareh.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 2:34pm
d