arena

'Kedah tetap pilihan nombor satu' - Aidil

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap memilih Lang Merah sebagai pasukan pilihannya meskipun terdapat beberapa pasukan dari Liga Super termasuk Perak yang merisik dan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Walaupun Perak dikatakan mempunyai minat yang tinggi setakat ini, dua lagi pasukan dari Lembah Klang turut difahamkan sedang mengintai ketua jurulatih Lang Merah itu yang membawa Kedah menjuarai Piala FA dan layak ke final Piala Malaysia pada tahun lalu.

Kejayaan yang dihasilkan bersama skuad Lang Merah dalam tempoh singkat iaitu selama tujuh bulan sejak awal musim tahun lalu, menyebabkan 'saham' serta reputasi jurulatih kelahiran Singapura itu melonjak.

"Pengurusan pasukan Perak ada membuat pertanyaan kepada saya namun ia cuma secara lisan dan perkara ini masih lagi diperingkat awal.

"Kedah adalah pilihan nombor satu buat saya dan walaupun Perak menunjukkan minat mereka, tetapi buat masa ini hati saya masih lagi bersama Kedah dan masih memiliki kontrak hingga hujung musim ini.

"Secara jujurnya saya berazam mahu memberi khidmat terbaik untuk Kedah hingga ke hujung musim ini dan mahu fokus membawa Kedah sekali lagi ke peringkat akhir Piala Malaysia pada musim ini," katanya

Berkaitan 'risikan' beberapa pasukan lain, Aidil juga berkata beliau sendiri tidak pasti sejauh mana minat mereka untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan dan setakat ini sebarang rundingan belum diadakan.

"Saya masih tetap komited dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kepada saya buat masa ini.

"Apapun, saya mahu fokus dalam memberi khidmat terbaik dari hati saya untuk pasukan Kedah dalam membawa kejayaan buat skuad Lang Merah pada musim ini," katanya.

Aidil memulakan khidmat bersama Kedah selepas mengikat kontrak selama dua musim sejak 2019 dengan rekod cemerlang bersama Home United FC (HUFC) apabila membawa kelab berkenaan muncul juara Zon Asean dan ke peringkat separuh akhir antara zon dalam saingan Piala AFC.

Dia juga membantu HUFC melangkah ke peringkat akhir Liga Perdana Singapura pada 2018.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 2:56pm
d