arena

Alhamdulillah...Melaka bebas tunggakan gaji

Oleh Syazwan Msar

KETIKA beberapa pasukan masih lagi dipalit masalah bebanan hutang tunggakan gaji, Melaka pula bertindak cemerlang apabila mereka kini sudah bebas daripada masalah terbabit dengan menyelesaikannya minggu lalu.

Khabar gembira terbabit jelas sekali meniup semangat pasukan berkenaan yang kini dalam misi mahu berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super selain menyusun semula pembangunan akar umbi.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) Mohd Ashiq Abd Samad berkata, semua tunggakan gaji membabit pemain pasukan utama dan pembangunan termasuk Piala Presiden sudah selesai.

Beliau berkata, tunggakan gaji membabitkan skuad Piala Presiden adalah yang terakhir diselesaikan pada minggu lalu dengan peruntukan kira-kira RM800,000.

''Terima kasih kepada Presiden Musa, Datuk Sulaiman Md Ali yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan. Ketika ini, Melaka sudah bebas dengan isu tunggakan gaji diharapkan perkara terbabit tidak lagi dikaitkan dengan kami.

''Sekarang ini, kami mahu menumpukan kepada proses penswastaan dan memastikan pasukan utama berada di kedudukan terbaik,'' katanya ketika dihubungi Arena Metro. Sebelum itu, ketika Melaka diambang pemotongan enam mata akibat kegagalan membayar tunggakan gaji 2018 sebelum 30 April lalu, pasukan terbabit akhirnya boleh tersenyum sementara apabila diberikan 'talian hayat' dengan tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Talian hayat' yang diberikan menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) itu jelas sekali memberi kelegaan kepada pasukan berkenaan yang sebelum ini dikenakan pemotongan tiga mata akibat kegagalan menjelas hutang 2018.

Pasukan terbabit juga sebelum ini sudah dikenakan hukuman apabila FAM memutuskan pemotongan tiga mata ke atas skuad Hang Tuah serta merta.

Disiarkan pada: September 8, 2020 @ 10:51pm
d