arena

Doucoure lengkapkan pencarian Everton

Oleh AFP

EVERTON melengkapkan bahagian tengah mereka dengan menandatangani Abdoulaye Doucoure dari Watford dan dilaporkan bernilai £20 juta (RM108 juta).

Pemain berusia 27 tahun itu bersetuju dengan kontrak selama tiga tahun, namun Toffees mempunyai pilihan untuk menyambung khidmat pemain itu bagi musim keempat.

Doucoure menjadi pemain tengah ketiga ditandatangani Carlo Ancelotti selepas kehadiran James Rodriguez dari Real Madrid dan Allan dari Napoli.

"Saya sudah menanti sekian lama untuk datang ke sini dan sekarang ia menjadi kenyataan, jadi saya sangat gembira.

"Saya berjaya menarik minat kelab lain tapi sejak dari awal Everton menunjukkan minat terhadap saya, saya memberitahu ejen saya supaya fokus kepada Everton. Ini adalah kelab yang saya mahu sertai," kata Doucoure.

Pemain kelahiran Perancis itu beraksi 129 kali di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas empat musim di Vicarage Road dan sudah meledakkan 17 gol dan 12 hantaran menghasilkan jaringan.

"Saya akan menggunakan kekuatan, saya mampu berlari sepanjang perlawanan. Saya juga mampu menambah koleksi jaringan. Saya akan cuba sebaik mungkin menjaringkan gol dan membantu pasukan," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 12:40pm
d