arena

De Bruyne kebanggaan City

Oleh AFP

KEVIN De Bruyne memberi penghargaan kepada Pep Guardiola selepas dia bergelar pemain Manchester City pertama dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).

Pemain lain yang dicalonkan untuk anugerah PFA di dominasi juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dengan lima pemain, manakala penyerang Manchester United, Marcus Rashford menerima anugerah kerana peranannya melawan kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak.

City ketinggalan 18 mata di belakang Liverpool pada musim 2019/20 tetapi De Bruyne, yang meledak 13 gol dan 20 hantaran menghasilkan jaringan, diundi sebagai yang terbaik musim lalu.

"Ini adalah penghormatan besar, untuk diundi oleh rakan pemain, pesaing daripada pasukan lain yang selalu anda temui di padang. Mereka mengundi anda untuk gelaran pemain terbaik, ia menakjubkan.

"Ia mungkin pelik kerana saya adalah yang pertama di City, melihat semua pemain terbaik bermain di sana sebelum ini dan masih bermain. Tapi ia sesuatu yang bagus untuk mewakili kelab," kata De Bruyne.

Pemain tengah dari Belgium itu memuji pengaruh Guardiola kerana memberikannya kebebasan untuk menyinar pada musim 2018/19 ketika dia juga dilanda kecederaan.

"Kami selalu berbincang mengenai pasukan tetapi beliau tahu apabila memberi arahan apa yang perlu dilakukan pasukan, saya akan mendengar," kata De Bruyne.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 12:55pm
d