arena

Piala Emas Raja-Raja 'korban' Covid-19

Oleh Firdaus Hashim

SAINGAN tertua negara selepas pertandingan Piala Malaysia, kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) bagi edisi ke-80 musim ini terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19 yang kini melanda negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed mengakui sedih dengan pembatalan kejohanan PERR yang sepatutnya berlangsung November ini.

Katanya, selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau memutuskan untuk membatalkan dan akan kembali semula pada musim depan.

"Saya ada berbincang dengan Presiden FAM dan kita putuskan untuk batalkan PERR tahun ini disebabkan Covid-19.

"Walaupun berat, tapi kita terima dengan terbuka demi kesihatan dan keselamatan pemain-pemain yang akan beraksi dalam PERR.

"Keputusan ini juga selari dengan pembatalan saingan utama Liga Malaysia (Liga-M) seperti Piala FA, Piala Cabaran, Liga M3 dan Piala Presiden dan Piala Belia," katanya yang juga memikul tanggungjawab selaku Exco FAM.

PERR yang bermula pada 1922 dianggap sebagai kejohanan peringkat kedua selepas saingan Liga-M di mana ramai pemain muda berjaya dicungkil daripada kejohanan ini.

Malah, beberapa pemain ternama berjaya diketengahkan hingga menyarung jersi Harimau Malaya dalam setiap generasi seperti pada 60an, Zulkifli Norbit, legenda Selangor dan Pahang era 90an, Mubin Mokhtar diikuti Mohd Hafiz Kamal dan Nasir Basharudin pada era millenium ini.

Pada musim lalu, pasukan jemputan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) memecah tradisi kejohanan tertua negara ini selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di perlawanan akhir.

Kali terakhir pasukan yang turut bukan berstatus ahli gabungan PBMM menjulangnya ialah Singapura yang menewaskan Pulau Pinang 4-2 pada 1983.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 8:52pm
    d